Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 25 April (Hrkh) - Surau Awwaliah, Kampung Segambut Dalam, Mukim Batu dilaporkan menerima satu notis dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhubung meroboh dan mengalihkan bangunan surau.Menurut sumber yang mahu dikenali sebagai Irwan, notis itu dihantar MAIWP pada 11 April 2004 kepada Ahli Jawatankuasa Surau Awwaliah.
Beliau berkata demikian ketika memberi maklumat mengenai notis meroboh dan mengalih bangunan surau yang diterima Ahli Jawatankuasa Surau Awwaliah, Kampung Segambut Dalam.
Dalam notis tersebut katanya, MAIWP memberitahu bahawa tanah yang diwakaf seluas 2000 kaki persegi di lot 1596, Mukim Batu tidak dapat disempurnakan pendaftaran tanah kepada MAIWP menurut Peruntukan Kanun Tanah Negara.
Dalam notis itu juga kata Irwan, MAIWP memberitahu bahawa satu perjumpaan antara MAIWP dengan Jawatankuasa Masjid telah diadakan pada 25 September 2004 dalam memperjelaskan kedudukan tanah tersebut.
Tambahnya, dalam pertemuan itu MAIWP mendakwa pihak pewakaf bersetuju membayar gantirugi surau dan tapak surau tersebut sebagai wakaf istibdal.
Mengikut notis itu katanya, pihak Pejabat Mufti Wilayah persekutuan memaklumkan bahawa wakaf istibdal boleh dilakukan sekiranya wakaf ada halangan yang munasabah.
Berikutan dari halangan undang-undang untuk mendaftarkan wakaf itu MAIWP dalam notisnya meminta AJK Surau Awwaliah mengalih dan merobohkan struktur bangunan surau yang dibina dalam masa 14 hari dari tarikh surat.
Sebelum ini, tindakan meroboh surau pernah berlaku di negara ini.
Negeri Selangor sebelum ini melalui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pernah merampas dan meroboh lebih tujuh masjid dan surau di sekitar negeri Selangor.
Antaranya, Surau Fatima Al-Zahra, Taman Kosas; Surau Jubli Perak, Bandar Baru Bangi; Masjid Al Hidayah, Kelana Jaya; Masjid Al Munawwarah, Shah Alam; Surau Ar Rasyidin, Gombak dan Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya. - mks.
No comments:
Post a Comment